Ahad, 17 Februari 2013

Penternakan Itik Telur -Khaki Campbell

Itik Telur atau Khaki Campbell

Itik ini adalah hasil kacukan daripada itik Indian Runner dan Rouen. Dihasilkan oleh Sir Adele Campbell pada tahun 1940-an di England. Mempunyai kadar penghasilan telur yang paling tinggi berbanding itik jenis lain.



Itik Khaki Campbell

Itik Khaki Campbell mempunyai sifat yang amat sensitif, mudah stress dan liar. Sebarang bentuk gangguan yang mereka tidak biasa akan menyebabkan mereka bertempiaran lari ketakutan. Perkara ini yang perlu dijaga supaya tidak menjejaskan produktiviti telur sepertimana yang telah saya nyatakan di atas. 

Walaubagaimanapun itik ini mudah dikawal dan agak berdisiplin. Semasa itik ini masih diperingkat anak, saya telah mengajar mereka dengan sejenis bunyian isyarat. Isyarat ini dibunyikan setiap kali memberi makan kepada mereka sehingga mereka sudah biasa dan kenal bunyi itu. Saya menggunakan kaedah pemeliharaan lepas bebas (itik tidak dikurung) dihadapan reban itik ada sebatang parit taliar. Pada waktu pagi itik akan dilepaskan keluar dari reban, selepas mereka diberi makan, mereka bebas merayau kemana-mana sahaja dalam taliar itu. Tujuannya adalah untuk mengelakkan mereka stress. (sepertimana gambar yang anda dapat lihat dibawah).Kadangkala mereka merayau melebihi 500 meter atau lebih dari reban. Tetapi bagi saya tidak menjadi masalah, Bila saya ingin memanggil pulang itik itu pada bila-bila masa, saya hanya perlu membunyikan isyarat itu dari reban dan mereka akan berbondong-bondong pulang ke reban. Memang kedengaran agak ganjil, tapi saya telah lakukannya.

Dari aspek disiplin pula, walaupun saya terlupa memanggil pulang itik itu pada petangnya itik yang merayau itu akan pulang sendiri bila hari beransur senja. Kadang-kala semua itik sudah masuk ke reban dan pintu reban sudah ditutup, saya pun sudah balik ke rumah. Kalau ada seekor dua itik yang terlewat balik. Saya hanya akan mengetahuinya pada pagi besok. Bila saya sampai ke reban didapati ada seekor dua yang tidur diluar reban. Itu memang sahlah itik yang terlewat balik pada petang semalam.

Dengan menggunakan kaedah lepas bebas ini serta hanya menggunakan makanan yang diproses sendiri, lebih dari 90% itik saya bertelur dengan baik, dan jumlah ini kekal selama beberapa bulan sebelum tibanya musim meluruh.

Musim meluruh bermaksud apabila sampai jangkamasa tertentu, bulu itik akan meluruh, ketika itu itik akan berhenti bertelur-seolah olah berehat sekejap dari bertelur, apabila bulunya penuh semula, ia akan bertelur balik. Tetapi musim meluruh ini bukan berlaku serentak kepada semua itik, dalam masa tertentu ada itik yang meluruh dan ada yang tidak. Yang meluruh akan bercuti yang penuh bulu akan bertelur. Apabila yang meluruh penuh bulu, ada yang penuh bulu akan mula meluruh. Begitulah seterusnya. Bagi itik yang meluruh itu, memang tidak ada rawatan khas untuk memaksa ia bertelur balik, hanya masa yang menentukan bila ia akan penuh bulu dan bertelur semula. Sebab itulah adanya peningkatan dan penurunan hasil telur.

Itik Tak Perlu Mandi ???

Adakah itik tidak perlukan kolam tempat berenang?? Ada pihak mendakwa itik penelur ini tidak perlu mandi, yang penting adalah sediakan makanan dan minuman yang mencukupi dan mereka akan bertelur dengan baik. 

Berdasarkan keterangan ini, ada pengusaha yang membuat reban tanpa menyediakan tempat mandi itik. Saya akui kebenaran kenyataan ini, walaubagaimanapun berdasarkan pengalaman, kawasan reban itu akan berbau busuk. Dari jarak 300-400 meter lagi kita sudah  dapat menghidu bau busuknya.

Keadaan ini tidak berlaku kepada itik yang disediakan tempat mandi, Kalau hendak dikatakan tidak berbau langsung penipulah, Berbau juga tapi tidak seteruk itik yang tidak diberi mandi, dari jauh tidak berbau, bila kita pergi dekat dengan rebannya barulah ada bau. Itupun baunya tidaklah ketara sangat.

Bila saya periksa bau kuat itu bukannya datang dari najis itik, tapi dari badan itik yang tidak mandi, tambahan pula kalau itik yang berkurung dalam reban 24 jam mereka akan bergelumang dengan najis, lumpur dan sebagainya, itu yang menjadi punca bau yang kuat.
Itik Telur atau Khaki Campbell

Akhirnya saya lihat tuan itik yang mendakwa itiknya tak perlu mandi itu terpaksa menyembur air kepada itiknya pakai air paip (itiknya berkurung dan rebannya tiada kolam mandi) barulah baunya kurang. 

Itik Penelur Tidak perlukan Itik Jantan???


Bagaimana nak membezakan jantina itik? Semasa peringkat anak memang agak sukar untuk dikenali kecuali mereka yang bergiat dalam bidang pembenihan itik ini. Bagi orang awam seperti kita cara yang mudah ialah apabila anak itik sudah penuh bulunya (berusia sebulan keatas) jantina itik dapat dikenali. Lihat pada bunyi yang dikeluarkan, kalau itik itu berbunyi kuat, itu itik betina. Ini comfirm. Itik jantannya mengeluarkan bunyi yang perlahan seperti berbisik. Kepala itik jantan lebih besar dari betina. Badan itik jantan lebih tegap, itik betina kelihatan lebih kecil dan rendah. Lihat pada ekornya, hujung ekor itik jantan ada simpulan berbentuk seperti bulatan (seperti rambut kerinting), hujung ekor itik betina berbentuk lurus.


Ada pengusaha yang saya kenali berpendapat itik penelur ini tidak perlukan itik jantan. Dari peringkat awal lagi dia akan menghapuskan / menyembelih itik jantan ini dengan alasan rugi / membazir makanan sedangkan tiada hasil diperolehi.


Secara peribadi, saya berpendapat tindakan itu adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bayangkan sebuah masyarakat yang hanya ada golongan wanita sahaja tanpa ada lelaki. Memanglah tujuan kita memelihara itik untuk mendapat keuntungan, tapi janganlah zalim sangat. Sekurang-kurangnya dalam seribu ekor itik betina berilah 100 ekor jantan, biarlah ada sedikit kebahagiaan dalam kehidupan itik itu.


Itik Telur atau Khaki Campbell

Tiada ulasan:

Catat Ulasan